BI: Peningkatan tertinggi -- 7.5 peratus kenaikan terbaik sejak PMR diperkenal pada 1993
BI: Peningkatan tertinggi -- 7.5 peratus kenaikan terbaik sejak PMR diperkenal pada 1993
Oleh: ROHANA MAN
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Mata pelajaran Bahasa Inggeris mencatat peningkatan terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini dengan peratusan pelajar lulus meningkat daripada 62.4 peratus pada tahun lepas kepada 69.9 peratus tahun ini.
Peningkatan sebanyak 7.5 peratus itu merupakan peratusan paling tinggi sejak peperiksaan itu diperkenalkan pada tahun 1993.
Ia berdasarkan kepada pencapaian yang melepasi tahap penguasaan minimum iaitu ABCD bagi mata pelajaran teras tersebut.
Peperiksaan PMR diperkenalkan bagi menggantikan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang mula dilaksanakan pada tahun 1960.
Takrif pencapaian A adalah cemerlang; B kepujian; C baik; D mencapai tahap penguasaan minimum dan E tidak mencapai tahap penguasaan minimum.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat berkata, pencapaian itu adalah satu peningkatan yang tinggi kerana kebiasaannya pencapaian Bahasa Inggeris PMR meningkat satu atau dua peratus sahaja.
Sungguhpun begitu, katanya, kementerian mahu pencapaian mata pelajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan sehingga melebihi 80 peratus.
``Pencapaian yang memberangsangkan ini penting dan sejajar hasrat kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun depan,'' katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR tahun 2002 di sini, hari ini.
Seramai 391,431 pelajar tingkatan tiga sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan menduduki peperiksaan itu pada 14 Oktober sehingga 17 Oktober lalu di 2,799 pusat peperiksaan.
Daripada jumlah itu, jumlah calon yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil ialah 17,994 pelajar iaitu bertambah 4,119 pelajar atau 4.6 peratus.
Tahun lalu, jumlah pelajar yang memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil ialah 13,875 pelajar atau 3.5 peratus.
Calon PMR 2002 boleh mendapat keputusan mereka mulai pukul 10 pagi, hari ini di sekolah masing-masing.
Calon persendirian perseorangan pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kepada setiap calon berkenaan.
Pada majlis itu juga, seramai 10 pengetua sekolah cemerlang dari seluruh negara turut hadir menerima sijil yang disampaikan oleh Abdul Rafie.
Antara sekolah itu ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, Kuala Lumpur yang mencatatkan jumlah calon tertinggi memperoleh semua A iaitu sebanyak 88.4 peratus.
Sekolah-sekolah lain ialah Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan (80.3 peratus); Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Yayasan Terengganu, Dungun, Terengganu (83.3 peratus) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur (71.2 peratus).
Mengulas faktor peningkatan tertinggi Bahasa Inggeris itu, Abdul Rafie berkata, pihaknya mengenal pasti tiga elemen yang membantu peningkatan iaitu latihan guru bahasa Inggeris yang terancang.
Selain itu, katanya, elemen penambahan sastera dalam bahasa Inggeris turut membantu meningkatkan kemahiran pelajar.
``Program pembacaan buku yang meluas dan terancang di sekolah-sekolah turut membantu pelajar,'' jelasnya.
Beliau juga berkata, pelbagai usaha lain sedang dilakukan untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris, antaranya program latihan untuk para pelatih.
Menerusi program itu, katanya, pakar-pakar bahasa Inggeris dari luar negara dibawa masuk ke negeri dan daerah untuk melatih guru.
Selain itu, katanya, kementerian kini berusaha meramaikan guru program pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau ringkasnya TESL.
Mengulas pencapaian mata pelajaran lain, Abdul Rafie berkata, semua mata pelajaran teras kecuali Pendidikan Islam mencatatkan kelulusan melebihi 90 peratus.
Semua mata pelajaran itu pula meningkat di antara 0.2 peratus sehingga dua peratus iaitu Bahasa Melayu, 93.5 peratus berbanding 91.5 peratus, tahun lalu.
Matematik dan Sejarah masing-masing meningkat 0.7 peratus iaitu Matematik 91.3 peratus berbanding 90.6 peratus tahun lalu dan Sejarah 90.7 peratus berbanding 90.0 peratus.
Pencapaian bagi mata pelajaran Sains kekal seperti tahun lalu iaitu 95.2 peratus.
Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu untuk Pilihan 1; Pilihan 2 dan Pilihan 3 turut mencatatkan kelulusan melebihi 90 peratus.
Sementara peratus pencapaian calon bagi mata pelajaran tambahan bagi Bahasa Arab; Bahasa Cina dan Bahasa Tamil meningkat di antara 2.4 peratus sehingga 5.1 peratus.
Pencapaian bagi mata pelajaran Bahasa Punjabi dan Bahasa Iban pula menurun sebanyak 1.1 peratus dan 2.3 peratus.
Mengulas penurunan pencapaian Pendidikan Islam sebanyak 0.1 peratus iaitu daripada 91.8 peratus,tahun lalu kepada 91.7 peratus tahun ini, Abdul Rafie berkata, penurunan itu sedikit sangat dan tidak menjejaskan keseluruhan pencapaian mata pelajaran itu.